Tuesday, February 21, 2006

Khalifah Naqsyabandiah Al Kholidiah

Guru Tarekat Naqsyabandiah

Alhamdulillah ketika tercari-cari bahan untuk koleksi 'Tokoh-tokoh ulama di negeri adat perpatih' ini, penyusun bagai dipandu untuk mencapai website www.bicarasufi.com di sana ahli-ahli membicarakan kesufian dan tokoh-tokoh tarekat di negeri kita. Hati menjadi tenang dan diruntun untuk mendekati diskusi ini. Antara tokoh tuan guru tarekat yang disebut-sebut ialah khalifah tarekat Naqsyabandiah al Kholidiah di Lenggeng. Rakan setugas penyusun yang kebetulan pengambil tarekat ini walaupun beliau berasal dari Terengganu, beliau dengan ikhlas telah meminjamkan buku perjuangan Tuan Syeikh Haji Maarof bin Yaakob untuk memudahcara usaha penyusun mengutip ringkasan hidup tokoh yang soleh ini.
.
Penyusun ingin memohon keizinan kepada waris guru ini dan khususnya Tuan Haji Sulaiman Haji Muhamad Nor selaku penyusun buku bagi maksud di atas. Semoga paparan kisah ini dapat menarik minat pengunjung mengenali lebih dekat perjuangan Tuan Syeikh Haji Maarof bin Yaakob. Andaikata ada kekurangan dan kesilapan dalam menyaring kisah ini, maka penyusun mengharapkan semua pihak sudi melengkapkannya. Sila hubungi penyusun melalui email : abu_afdhal@yahoo.com atau meninggalkan coretan komentar dalam laman web ini.
.
Latar belakang guru
.
Tokoh yang kita bicarakan ini berasal dari Lenggeng, Negeri Sembilan iaitu sebuah mukim yang bersempadan dengan kawasan Ulu Langat Selangor. Kawasan ini lebih mudah dihubungi melalui jalan Kajang- Seremban. Sebahagian besar penduduknya ialah berasal dari tanah seberang khususnya masyarakat Minangkabau. Tuan Haji Maarof dilahirkan pada tanggal 1901 bersamaan lebih kurang tahun 1322H pada hari selasa pukul 10.00 pagi di sebuah pondok tengah sawah Kampung Sungai Bunga. Anak pertama bagi pasangan Yaakob Haji Saman dan Siti Hajar Haji Arshad asalnya diberi nama Muhamad Jinid, namun bayi ini sering menghadapi masalah dan mengikut kepercayaan orang-orang tua nama tersebut tidak serasi bagi batang tubuh anak. Lalu ditukarkan kepada Maaruf dengan harapan akan mendapat kebaikan di dunia dan akhirat.
.
Nenek moyang sebelah ibunya berasal dari tanah Jawa. Neneknya bernama Inah dan bapanya Haji Arshad dari Jawa Tengah. Mereka berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu dan berkampung di Pulau Besar. Keluarga ini akhirnya masuk suku mengikut adat negeri ini iaitu berperut kepada Suku Biduanda. Manakala sebelah bapanya berasal dari Tanah Minang dan bermukim pula di Kampung Ampang Penajis. Di sanalah bapanya dilahirkan dan ternaung di bawah Suku Batu Hampar.
.
Mereka berpindah ke Lenggeng dalam sekitar tahun 1895. Di sinilah ibu dan bapanya bertemu jodoh. Lima tahun kemudian, mereka dikurniakan cahaya mata. Pondok penginapan mereka terletak kira-kira di hadapan Masjid Mandom sekarang.
.
Pendidikan
.
Meningkat usia 7 tahun, Maarof pun menjejakkan kakinya di Sekolah Melayu Pekan Lenggeng kira-kira 2.5 km dari rumahnya. Sekolahnya hanya beratapkan rumbia dan berdinding papan di tepi sawah. Di sinilah ia bersekolah hingga menamatkan darjah 5. Kemudian beliau terpilih melanjutkan pendidikan dua tahun lagi sehinggalah lulus peperiksaan peringkat sekolah rendah. Haji Maarof mendapat nombor ke lapan dari 2,550 murid yang mengambil peperiksaan itu. Kejayaan ini membuka peluang kepada beliau untuk menjadi guru kecil ( pelatih) dan diterima mengajar di Sekolah Melayu Pantai, Jalan Jelebu. Sebagai tanda kelayakannya, Kerajaan British ketika itu menganugerahkan beliau 'Certificate For Standard V' ( 30 Jun 1917) dan 'Certificate Of Registration Of A Teacher' pada 28 Oktober 1921. Haji Maarof kemudiannya berpindah pula ke Sekolah Melayu Mantin (1918). Beliau bertemu jodoh dalam tahun 1921 berkahwin dengan seorang gadis bernama Ghina bt Muhamad Nuh.
.
Anggota M.V.I
.
Apabila tercetusnya Perang Dunia Pertama, Kerajaan kolonial British telah menubuhkan pasukan tentera simpanan yang dikenali sebagai Malayan Voluntary Infantry ( MIV) di negeri ini. Maarof telah berkhidmat dalam pasukan ini ketika masih menjadi guru. Beliau memakai nombor 1619 M.V.I dan terpaksa berlatih 2 kali seminggu di Seremban dan kemudiannya latihan intensif selama 2 tahun di Kem Batu 4 Port Dickson dalam tahun 1922. Mungkin tempoh tersebut juga beliau ditukarkan ke Sekolah melayu Bagan Pinang, Port Dickson. Beliau berkhidmat dalam pasukan beruniform ini hingga tahun 1924.
.
Letak jawatan
.
Dalam tahun 1925, beliau dipindahkan pula ke Sekolah Melayu Beranang. Di sinilah Haji Maarof meletakkan jawatan sebagai guru secara sukarela dengan gaji terakhir sebanyak $18.70 sebulan. Bagi memenuhi masa lapangnya, beliau belajar memandu kereta sehingga memperolehi lesen memandu. Selepas itu beliau memandu kereta sewa ke Seremban dan bersawah padi di kampung.
.
Cita-cita mengaji di pondok
.
Tuan Haji Maarof pernah bercita-cita belajar ilmu agama secara mendalam. Antara negeri-negeri sasarannya ialah Pantai Timur, Pattani dan Kedah. Dalam diam-diam beliau pergi mendapatkan akuan dari Dato' kelana Putra Luak Sungai Hujung yang menyatakan Maarof adalah anak buahnya dan menyokong hasrat beliau untuk merantau menuntut ilmu agama. Surat akuan itu diperolehi bertarikh 4 Mac 1925. Sayangnya, hasrat beliau tidak mendapat restu ibunya.
.
Merantau ke Jambi
.
Sebetulnya, Haji Maarof masih menanam tekad untuk menuntut ilmu agama dan dalam tahun 1925, beliau memberanikan diri meminta izin ibunya untuk ke Jambi pula. Tujuan beliau ialah untuk mencari wang belanja bagi meneruskan cita-citanya menuntut ilmu agama di Pantai Timur. Kali ini ibunya mengizinkan, anak muda yang taat kepada ibu dan bapanya itupun bertolaklah ke Singapura bersama pak ciknya. Mereka bermalam di masjid Kg Jawa sebelum belayar ke Jambi.
.
Di Jambi, Haji Maarof bekerja membersihkan kebun getah dan sebagai pemandu boat tambang di Sungai Jambi. Kemahirannya memandu dan boleh membaik pulih injin itu telah menarik minat penduduk di Pekan jambi untuk mendapat khidmatnya. Beliau balik ke Lenggeng semula setelah dimaklumkan ibunya sakit merinduinya. Kemudian beliau bekerja sebagai 'Revenue officer grade III di Kuala Lumpur dengan gaji bulanan sebanyak $35 dan tambahan $5 untuk elaun basikal. Dia bertugas bermula 11 April 1927 hingga 31 Oktober 1928. Setelah itu Haji Maarof bertukar beberapa kerja sehinggalah mengambil keputusan untuk pulang ke kampungnya.
.
Mengambil Tarekat
.
Ketika mengajar di sekolah Mantin dalam tahun 1920, Haji Maarof mengambil tarekat daripada Tuan Guru Syeikh Haji Ahmad bin Mohd AlBaqir di Pantai, Seremban. Sekembalinya dari Jambi itu, Haji Maarof mula bersuluk. Suluk pertamanya selama 20 hari dan gurunya mengarahkannya membuat tahlil sebanyak 4 khatam selama sebulan.
.
Dinyatakan aktiviti bersuluk telah lama diamalkan di kawasan Lenggeng. Surau suluk pertama dicatatkan ada sejak tahun 1901 di bawah pimpinan Syeikh Kubung. Kemudian pusat-pusat bersuluk tumbuh di sana seperti di Kampung Tengah pimpinan Haji Mustaffa, Kg Suluk pimpinan Tuan Faqih, Kg Sungai Macang oleh Haji Abdullah Haji Ismail dan di Kg Dacing pimpinan Haji Said dan Syeikh Muda. Dilaporkan di Kg Dacing itu ramai murid-murid berasal dari tanah seberang.
.
Ijazah Khalifah
.
Awal tahun 1940an, Haji Maarof menumpukan masanya berguru sambil bersuluk di surau Syeikh Haji Ahmad bin Mohd Albaqir di Pantai, Seremban. Tuan guru itu telah lama mengadakan majlis ilmu di sana dan beliau merupakan khalifah tarekat Naqsyanbandi kholidiah ke 36 dan murid kepada Syeikh Ali Redha yang bermastautin di Jabal Qubais Mekah al Mukarramah, penyusun muat turunkan kedudukan lokasi Qubais ini sebagaimana catatan pengembaraan Ibnu Batttutah iaitu:
.
"Makkah ialah sebuah kota yang besar dan mempunyai bangunan-bangunan yang rapat-rapat. Ia berbentuk bujur dan terletak di dasar sebuah lembah yang dikelilingi oleh bukit bukau. Pengunjung yang datang tidak akan dapat melihat kota tersebut hingga ia benar-benar sampai di situ. Bukit-bukau yang mengelilinginya itu tidaklah begitu tinggi. Antara bukit tersebut ialah Jabal Abu Qubais dan Jabal Qu’aiqi’an iaitu dua buah Jabal al-Akhsyaban. Jabal Abu Qubais terletak di sebelah selatan kota Makkah dan Jabal Qu’aiqi’an pula di sebelah baratnya. Di sebelah utaranya terletak Jabal al-Ahmar. Bersebelahan dengan Jabal Abu Qubais pula terletak Ajyad al-Akbar dan Ajyad al-Asghar, kedua-duanya curam serta sempit selain Jabal al-Khandamah yang akan diceritakan kemudian. Tempat-tempat untuk melaksanakan haji iaitu Mina, ‘Arafah dan Muzdalifah, semuanya terletak di timur Makkah. "
.
Berkat Kesungguhan dan mujahaddah Haji Maarof ketika menuntut dengan Syeikh Haji Ahmad itu maka beliau terpilih untuk diijazahkan Khalifah Tarekat dalam tahun 1941. Ketika bertawajuh dalam tahun 1942, Haji Maarof mengalami sakit teruk hingga melemahkan tubuhnya. Gurunya mengarahkan murid-murid menyediakan setin minyak tanah air sejuk yang dibacakan surah Yassin. Selepas khatam tawajuh, Maarof dipimpin rakan-rakannya ke bawah jambatan sungai yang tidak jauh dari surau suluk mereka. Di atas batu tengah sungai itulah Haji Marof dimandikan. Dia begitu bersyukur kerana selepas dimandikan, tubuh badannya kembali sehat dan mampu berjalan tanpa dipapah lagi.
.
Memimpin jamaah
.
Selepas kembalinya ke rahmatullah Syeikh Haji Ahmad al Baqir pada 1 Syaaban 1362 H bersamaan 30 Julai 1942, Haji Maarof terus bersuluk dengan Haji Abdullah Haji Ismail di Suluk Sungai Bunga. Haji Abdullah dianggap guru dan abang tua dalam aliran tarekat ini. Haji Abdullah telah menulis ijazah ( bertarikh 28 April 1952) boleh memimpin tawajuh dan menyuluk bagi Haji Maarof yang tidak sempat ditulis oleh Syeikh Haji Ahmad dalam tahun 1942. Bertawajuh dengan Haji Abdullah berjalan hinggalah Haji Abdullah meninggal dunia lebih kurang tahun 1953/54.
.
Peninggalan Haji Abdullah, jamaah masih bertawajuh di Masjid Mandom setiap malam selasa dan jumaat di bawah pimpinan Haji Maarof. Kemudian mereka berpindah pula ke bangunan sekolah lama yang telah ditinggalkan dan lebih kurang 10 tahun pula mereka menggunakan bangunan tersebut. Akhirnya, dengan kesepakatan jamaah dan gotong royong telah didirikan surau baru di Kg Hilir pada 23 Ogos 1965. Surau suluk ini telah didaftarkan di Pejabat Agama dan kebenaran bertulis untuk menjalankan aktiviti keagamaan turut diberikan oleh pihak berwajib. Dato Kelana Putra, Undang Luak Sungai Ujung turut berkenan hadir di hari penutup suluk tahun tersebut. Walau bagaimanapun, jamaah ini tidak lepas dari fitnah orang yang tidak memahami aliran bersuluk atau bertarekat. Surat bantahan dari individu yang ditujukan kepada pihak berwajib telah dilayangkan tetapi kelulusan Pejabat Agama Negeri telah lama diperolehi. Malah dalam surat sokongan jabatan agama negeri bertarikh 23 Disember 1975 antara lain menyatakan:
.
"..Jabatan ini adalah sentiasa memberikan sokongan kepada apa-apa kegiatan keagamaan dan kerohanian yang boleh membawa masyarakat Islam di negeri ini kembali kepada Allah.."
.
Mereka juga berharap Tuan Guru Haji Maarof bin Yaakob akan dapat memimpin masyarakat Islam khasnya di kalangan jenerasi muda ke arah menghayati ajaran agama dan bertakwa.
.
Aktiviti jamaah
.
Surau telah diperbesarkan sesuai dengan pertambahan murid atau jamaah yang mengikuti majlis pimpinan Haji Maarof. Ramai pengunjung datang menyertai aktiviti di sini dari merata pelusuk negeri termasuk dari Singapura. Setiap majlis penutup suluk, jamaah akan mengadakan kenduri dan jiran-jiran berhampiran yang tidak bersuluk pun turut dijemput serta dalam kenduri tersebut. Apabila datang hari raya, program menziarahi tuan guru dan majlis korban turut diadakan. Haji Maarof akan diwakilkan untuk menyembelih binatang korban murid-murid beliau.
.
Penutup
.
Ratusan orang muridnya telah diberi pengakuan mengambil tarekat dan dibenarkan mengadakan tawajuh di masa hidupnya. Mereka adalah dari semua lapisan masyarakat dewasa dan berlatar belakang berbagai profession dari merata negeri. Tidak kira lelaki atau wanita yang ingin mencari keredhaan Illahi tidak akan dihampakan oleh Tuan Guru yang soleh itu. Dipercayai bilangan murid bagi aliran Naqsyabadi Kholidiah telah mencapai ribuan orang di merata pelusuk negeri. Selepas pemergiannya, difahamkan majlis tawajuh di surau itu masih diteruskan oleh menantunya Sheikh Talib.
.
Hasil perkongsian hidup dengan Hajah Fatimah Idris ( isteri kedua), Almarhum telah dikurniakan 8 cahaya mata dan mewarisi cucu cicit yang ramai. Isteri beliau meninggal dunia pada 7 Jun 1987 bersamaan 9 Ramadhan 1407H. Manakala Tuan Guru Syeikh Haji Maarof kembali ke rahmatullah pada tanggal tahun 1994. Kita berdoa agar jasa dan perjuangan almarhum khalifah Naqsyabandiah alKholidiah ini mendapat tempat di sisi Allah.

3 Comments:

Blogger UrutUratMelayu said...

al Fatihah...Semoga Allah mengampuni al Marhum Syeikh Haji Maarof Yaakob , merahmatinya,memaafkan semua kesalahannya, melipatgandakan kebaikannya, menempatkan beliau di Syurga Firdaus yang tertinggi bersama para Nabi, siddiqin,syuhada’ dan sholihin dan semoga Allah memberi ganti yang baik bagi kami dan kaum muslimin. Salawat dan Salam kepada jujungan baginda Rasulullah s.a.w.........Ameen Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim Ya Karim.

2:21 AM  
Blogger UrutUratMelayu said...

al Fatihah...Semoga Allah mengampuni al Marhum Syeikh Haji Maarof Yaakob , merahmatinya,memaafkan semua kesalahannya, melipatgandakan kebaikannya, menempatkan beliau di Syurga Firdaus yang tertinggi bersama para Nabi, siddiqin,syuhada’ dan sholihin dan semoga Allah memberi ganti yang baik bagi kami dan kaum muslimin. Salawat dan Salam kepada jujungan baginda Rasulullah s.a.w.........Ameen Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim Ya Karim

2:22 AM  
Blogger UrutUratMelayu said...

Ya, Allah Ya Karim, kau anugerahkanlah kepada hambaMu ini keimanan, ketakwaan dan kesolehan sebagaimana keimanan, ketakwaan dan kesolehan yang telah Kau anugerahkan kepada auliaMu dengan anugerah dari Mu Ya Allah, selawat dan salam kepada Baginda Rasulullah s.a.w. yang amat kami kaseh dan segala puji-pujian hanyalah untukMu Ya Allah."........amin..

2:22 AM  

Post a Comment

<< Home